Thursday, 26 January 2012

FENOMENA RIBUT MATAHARI

Gambar: Aurora terbentuk akibat ribut matahari

WASHINGTON 25 Jan 2012 - Radiasi solar daripada ribut matahari paling kencang dalam tempoh hampir sedekad bertembung dengan atmosfera Bumi semalam, memaksa sebuah syarikat penerbangan mengubah laluan pesawatnya.
Fenomena alam itu juga mendorong pemerhati cakerawala menjejaki pertunjukan cahaya yang menakjubkan di langit.
Syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS), Delta Air Lines berkata, pihaknya telah mengubah laluan penerbangan merentas kutub di antara Asia dan AS bagi mengelakkan masalah berpunca daripada radiasi solar itu.
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengesahkan, radiasi yang disebut sebagai coronal mass ejection (CME) itu mula bertembung dengan medan magnet Bumi pada sekitar 10 pagi semalam (11 malam tadi waktu Malaysia).
Menurut NASA, ribut itu kini dianggap sebagai yang terbesar sejak Oktober 2003.
Ribut radiasi solar tidak memudaratkan manusia di Bumi tetapi boleh menjejaskan operasi satelit dan radio gelombang pendek.
Radiasi solar itu dijangka berterusan menghujani atmosfera Bumi sehingga hari ini, dan potensinya untuk mengganggu komunikasi satelit di kawasan kutub menjadi punca perubahan haluan penerbangan, kata pegawai syarikat penerbangan.
Delta yang merupakan syarikat penerbangan kedua terbesar di dunia mengubah haluan sebilangan kecil penerbangannya kerana ribut solar itu berpotensi memberi kesan terhadap peralatan komunikasi, kata jurucakap, Anthony Black.
Penerbangan dari Hong Kong, Shanghai dan Seoul mengambil laluan yang lebih menghala ke selatan selepas ribut solar itu mula meletus pada Ahad lalu.
Disebabkan kekuatan luar biasa radiasi yang menghujani Bumi, pertunjukan aurora borealis atau 'Cahaya Utara' yang menakjubkan, selalunya dilihat hampir dengan Kutub Utara pada waktu ini, boleh dilihat lebih jauh ke selatan di Scotland dan utara England serta latitud lebih rendah di AS. - AFP

Monday, 23 January 2012

RIBUT TORNADO DI ALABAMA

Gambar: Stesen gas di timur kawasan Birmigham  rosak teruk di landa angin ribut Tornado - Birmigham News
BIRMINGHAM, Alabama 23 Jan 2012 - Ribut teruk, yang berkemungkinan tornado telah menyebabkan berlakunya kerosakan pada awal pagi tadi di beberapa daerah di Alabama seperti Tuscaloosa, Perry, Chilton, Shelby, Talladega dan Jefferson menurut Perkhidmatan Kaji Cuaca Tempatan.
"Ia kelihatan seperti beberapa siri tornado yang panjang atau satu ribut yang menghasilkan beberapa tornado," kata Jim Stefkovich, Ketua Meteorologi di pejabat Birmigham dari Perkhidmatan Kaji Cuaca Tempatan. "Kami tidak tahu berapa jauh tornado tersebut berlaku sehingga hari siang" katanya.
Pejabat Jefferson County Sheriff melaporkan puting beliung tersebut dikesan di sepanjang jalan dari Oak Grove Graysville, Fultondale, Center Point, Clay dan Trussville sebelum bergerak  ke St. Clair County. Dua dilaporkan meninggal dunia manakala 100 orang cedera akibat ribut tornado tersebut.

Thursday, 12 January 2012

GEMPA BUMI DI PANTAI BARAT UTARA SUMATERA INDONESIA

Gambar Hiasan
JAKARTA 12 Jan 2012 - Satu gempa bumi berukuran 7.3 skala Richter berlaku di pantai barat Utara Sumatera, Indonesia pagi semalam namun tiada sebarang laporan mengenai kerosakan dan kehilangan jiwa dilaporkan.
Gempa bumi berlaku kira-kira jam 1.40 pagi di lautan yang berpusat di 419 kilometer (km) barat daya Meuloboh, Aceh dengan kedalaman 10 km, yang diikuti beberapa kejadian gempa susulan yang turut dirasai sehingga ke Medan, Indonesia.
Menurut Jabatan Meteorologi dan Geofizik Indonesia, gegaran mulanya dicatatkan sebanyak 7.6 skala Richter, namun menurun kepada 7.1 skala Richter.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik (PATP) menarik balik ancaman tsunami, namun menambah kemungkinan timbul tsunami kecil yang mampu menjejaskan pantai-pantai yang berkedudukan tidak lebih dari 100 km pusat gempa bumi.
Difahamkan, gegaran yang berlaku di Banda Aceh mengambil masa kira-kira 30 saat menyebabkan penduduk yang merasainya bergegas dari kediaman mereka tetapi kembali semula selepas gegaran tamat.
Gegaran turut dirasai di negara jiran Malaysia iaitu di beberapa buah negeri antaranya Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan utara Perak yang turut dikeluarkan amaran tsunami namun ditarik balik Jabatan Meteorologi Malaysia.
Dalam pada itu, pelajar-pelajar Malaysia yang turut merasai gegaran gempa bumi di Banda Aceh tidak terjejas dan dilaporkan selamat menurut pegawai di Kedutaan Besar Malaysia Jakarta, Ludinata Misnun.
Seramai 206 pelajar Malaysia sedang menuntut di institusi pengajian tinggi di Aceh dan 1260 orang di Medan.

UFO BANYAK DILIHAT DI MINGGU PERTAMA 2012

Gambar: Image UFO yang dilihat pada 1 Jan 2012

Gambar: UFO di lihat bersembunyi di sebalik awan besar di Tainan, Taiwan China sekitar 10 Jan 2012

Gambar: UFO di lihat di Denver, Colorodo U.S.A sekitar 8 Jan 2012

Gambar: UFO di lihat berlegar di sekitar Menara Gereja di Timur Ukraine, Rusia sekitar 5 Jan 2012

Gambar: UFO di lihat mengelilingi ISS dilihat melalui NASA Live Cam Video 4 Jan 2012

Gambar: UFO di Bount Bisno Italy, melalui kamera biasa pada 7 Jan 2012
COLORADO 12 Jan 2012. - Dalam tempoh seminggu pertama tahun baru ini, lebih 200 laporan mengenai kelibat objek terbang yang tidak dikenal pasti (UFO) disaksikan di pelbagai lokasi di seluruh dunia.
Ia sama ada dalam bentuk gelembung-gelembung di udara, pesawat konvensional atau objek astronomi yang tidak dikenal pasti, jumlahnya meningkat setiap hari, tambahan pula proses rakaman menjadi lebih mudah dengan adanya kamera video digital dan telefon bimbit terkini.
Pertubuhan penyiasatan UFO terbesar di dunia, Mutual UFO Network (MUFON) yang berpangkalan di sini menerima banyak laporan tentang objek aneh di angkasa pada minggu pertama tahun baru ini daripada saksi di 36 buah negeri di negara ini.
"Januari tahun lalu, MUFON mencatat sekitar 500 laporan, namun untuk tahun ini kami menerima sehingga 233 laporan untuk tempoh minggu pertama sahaja," kata Pengarah Antarabangsa, Clifford Clift.
Begitu juga dengan catatan pada Disember lalu dengan 810 laporan berbanding 500 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
"Tahun lalu, terdapat lebih 6,000 objek aneh dilihat dan jika melihat kepada trend ini, angkanya akan meningkat hingga 50 peratus dengan kira-kira 10 peratus daripada laporan berakhir dengan keputusan buntu selepas penyiasatan dijalankan," katanya.
Merujuk kepada sebuah lagi badan penyiasat WeatherWatch.co.nz yang berpangkalan di New Zealand, dalam masa sehari pertama 2012 mereka menerima 80 laporan dan berterusan hingga kini dengan kira-kira 10 laporan setiap jam.
"Ramai yang keluar rumah pada sambutan tahun baru. Di Amerika Syarikat misalnya, cuaca kering dan sederhana di kebanyakan tempat menyebabkan ramai yang mengambil keputusan keluar rumah untuk melihat objek aneh," kata pakar analisis cuaca, Philip Duncan.
Menurut tolatestufosightings.net, sekumpulan cahaya berbentuk silinder berkilau-kilau dirakamkan di Campinas, Brazil pada 3 Jan. Seterusnya pada hari yang sama dua objek terbang berwarna cerah bergerak dalam keadaan perlahan dirakamkan di Sinaloa, Mexico.
Clift berkata, semakin ramai yang ingin tahu tentang UFO dan mereka akan keluar rumah untuk menyaksikan sebarang keganjilan di ruang angkasa, sekali gus menjadikan laporan tentang objek aneh tersebut meningkat. - AGENSI

Thursday, 5 January 2012

TUNA GERGASI DILELONG RM2.2 JUTA

GAMBAR: Kiyoshi Kimura (kiri) memotong ikan tuna biru gergasi yang dibelinya pada harga lebih 56 juta yen di Tokyo, semalam. - AFP
 (Utusan Malaysia: 6 Jan 2012)
TOKYO 5 Jan. - Seorang pemilik restoran sanggup membayar lebih 50 juta yen bagi membeli seekor tuna biru gergasi di pasar ikan Tsujiki, Jepun, sekali gus menandingi harga jualan ikan sama sebelum ini.
Ikan seberat 269 kilogram yang ditangkap di perairan wilayah Aomori, utara Jepun itu dijual pada harga 56.49 juta yen (RM2.2 juta) dalam satu acara lelongan pertama tahun ini.
Jumlah itu lebih tinggi berbanding lelongan ikan jenis sama tahun lalu yang dijual pada harga 32.49 juta yen (RM1.3 juta) di Tsujiki, sebuah pasar besar yang turut menjadi lokasi tarikan pelancong.
Pembida yang membeli ikan tersebut ialah presiden syarikat yang memiliki rangkaian restoran popular Sushi-Zanmai, Kiyoshi Kimura.
Media tempatan melaporkan, restoran itu akan menjual sushi yang dihiasi satu hirisan tuna hanya dengan harga 418 yen (RM17).
Ia adalah jauh lebih rendah berbanding harga sepatutnya iaitu 5,000 yen (RM204) bagi setiap sushi, mengambil kira nilai ikan itu pada 210,000 yen (RM8,857) bagi setiap kilogram.
"Saya mahu membeli tuna terbaik supaya pelanggan Jepun boleh menikmatinya dan bukan pelanggan luar negara," katanya merujuk kepada pemilik restoran sushi dari Hong Kong yang membeli ikan jenis sama tahun lalu.
Aktiviti menangkap ikan tidak terkawal selama berdekad-dekad menyebabkan bekalan tuna dunia semakin merosot, satu keadaan yang memaksa negara-negara Barat mengharamkan penangkapan spesies tuna biru yang terancam di Atlantik.
Tiga suku daripada tangkapan ikan tuna biru di seluruh dunia dimakan penduduk Jepun. Ia merupakan bahan paling mahal dalam pembuatan sushi yang dikenali sebagai 'kuro maguro' (tuna hitam) dan digelar 'berlian hitam' kerana sukar diperolehi. - AFP

TANAH RUNTUH DI LOMBONG EMAS MINDANAO

Gambar: Beberapa  lelaki menuruni kawasan tanah runtuh di lombong emas di Napan, pekan Pantukan di Mindanao, semalam. - AFP
(Utusan Malaysia: 6 Jan 2012)
MANILA 5 Jan 2012. - Sekurang-kurangnya 25 maut, sementara lebih 100 yang lain hilang dalam satu kejadian tanah runtuh di sebuah lombong emas di selatan negara ini, hari ini.
Ketua Pertahanan Awam Benito Ramos berkata, kejadian di kampung Napnapan, bandar Pantukan itu berlaku pada pukul 3 pagi waktu tempatan (5 pagi waktu Malaysia) ketika penduduk sedang nyenyak tidur.
"Satu unit tentera dengan 120 anggota kini berada di lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat mangsa. Mereka hanya menggali runtuhan tanah menggunakan tangan," ujarnya.
Katanya, pihak berkuasa tempatan dan syarikat perlombongan juga telah diminta membawa masuk jentera berat ke kampung tersebut bagi membantu usaha menyelamat.
Setiausaha Alam Sekitar dan Sumber Asli Ramon Paje menjelaskan, beliau pernah memberi amaran kepada penduduk dan pegawai tempatan berhubung perkara itu tahun lalu, selepas pakar geologi mendapati terdapat rekahan pada puncak bukit yang boleh mengakibatkan tanah runtuh pada bila-bila masa. - AFP

GEMPA 5.3 MAGNITUD GEGAR DOMINICA

SANTO DOMINGO 6 Jan 2012: Gempa berukuran 5.3 magnitud menggegarkan Republik Dominica awal pagi tadi menyebabkan kerosokan pada jalan raya dan beberapa bangunan tetapi tiada laporan mengenai mereka yang cedera.

Pegawai Jabatan Kecemasan, Juan Manuel Mendez, berkata gegaran kuat itu turut menyebabkan rumah kediaman dan bangunan runtuh di kawasan kediaman
San Jose de Ocoa, kira-kira 115 kilometer di barat ibu negara itu. Gempa berlaku jam 5.35 pagi waktu tempatan yang gegarannya dirasai hampir di seluruh republik itu termasuk Santo Domingo, menyebabkan penduduk yang panik bergegas keluar rumah sehingga subuh. - AFP