Thursday, 26 January 2012

FENOMENA RIBUT MATAHARI

Gambar: Aurora terbentuk akibat ribut matahari

WASHINGTON 25 Jan 2012 - Radiasi solar daripada ribut matahari paling kencang dalam tempoh hampir sedekad bertembung dengan atmosfera Bumi semalam, memaksa sebuah syarikat penerbangan mengubah laluan pesawatnya.
Fenomena alam itu juga mendorong pemerhati cakerawala menjejaki pertunjukan cahaya yang menakjubkan di langit.
Syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS), Delta Air Lines berkata, pihaknya telah mengubah laluan penerbangan merentas kutub di antara Asia dan AS bagi mengelakkan masalah berpunca daripada radiasi solar itu.
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengesahkan, radiasi yang disebut sebagai coronal mass ejection (CME) itu mula bertembung dengan medan magnet Bumi pada sekitar 10 pagi semalam (11 malam tadi waktu Malaysia).
Menurut NASA, ribut itu kini dianggap sebagai yang terbesar sejak Oktober 2003.
Ribut radiasi solar tidak memudaratkan manusia di Bumi tetapi boleh menjejaskan operasi satelit dan radio gelombang pendek.
Radiasi solar itu dijangka berterusan menghujani atmosfera Bumi sehingga hari ini, dan potensinya untuk mengganggu komunikasi satelit di kawasan kutub menjadi punca perubahan haluan penerbangan, kata pegawai syarikat penerbangan.
Delta yang merupakan syarikat penerbangan kedua terbesar di dunia mengubah haluan sebilangan kecil penerbangannya kerana ribut solar itu berpotensi memberi kesan terhadap peralatan komunikasi, kata jurucakap, Anthony Black.
Penerbangan dari Hong Kong, Shanghai dan Seoul mengambil laluan yang lebih menghala ke selatan selepas ribut solar itu mula meletus pada Ahad lalu.
Disebabkan kekuatan luar biasa radiasi yang menghujani Bumi, pertunjukan aurora borealis atau 'Cahaya Utara' yang menakjubkan, selalunya dilihat hampir dengan Kutub Utara pada waktu ini, boleh dilihat lebih jauh ke selatan di Scotland dan utara England serta latitud lebih rendah di AS. - AFP

Monday, 23 January 2012

RIBUT TORNADO DI ALABAMA

Gambar: Stesen gas di timur kawasan Birmigham  rosak teruk di landa angin ribut Tornado - Birmigham News
BIRMINGHAM, Alabama 23 Jan 2012 - Ribut teruk, yang berkemungkinan tornado telah menyebabkan berlakunya kerosakan pada awal pagi tadi di beberapa daerah di Alabama seperti Tuscaloosa, Perry, Chilton, Shelby, Talladega dan Jefferson menurut Perkhidmatan Kaji Cuaca Tempatan.
"Ia kelihatan seperti beberapa siri tornado yang panjang atau satu ribut yang menghasilkan beberapa tornado," kata Jim Stefkovich, Ketua Meteorologi di pejabat Birmigham dari Perkhidmatan Kaji Cuaca Tempatan. "Kami tidak tahu berapa jauh tornado tersebut berlaku sehingga hari siang" katanya.
Pejabat Jefferson County Sheriff melaporkan puting beliung tersebut dikesan di sepanjang jalan dari Oak Grove Graysville, Fultondale, Center Point, Clay dan Trussville sebelum bergerak  ke St. Clair County. Dua dilaporkan meninggal dunia manakala 100 orang cedera akibat ribut tornado tersebut.

Thursday, 12 January 2012

GEMPA BUMI DI PANTAI BARAT UTARA SUMATERA INDONESIA

Gambar Hiasan
JAKARTA 12 Jan 2012 - Satu gempa bumi berukuran 7.3 skala Richter berlaku di pantai barat Utara Sumatera, Indonesia pagi semalam namun tiada sebarang laporan mengenai kerosakan dan kehilangan jiwa dilaporkan.
Gempa bumi berlaku kira-kira jam 1.40 pagi di lautan yang berpusat di 419 kilometer (km) barat daya Meuloboh, Aceh dengan kedalaman 10 km, yang diikuti beberapa kejadian gempa susulan yang turut dirasai sehingga ke Medan, Indonesia.
Menurut Jabatan Meteorologi dan Geofizik Indonesia, gegaran mulanya dicatatkan sebanyak 7.6 skala Richter, namun menurun kepada 7.1 skala Richter.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik (PATP) menarik balik ancaman tsunami, namun menambah kemungkinan timbul tsunami kecil yang mampu menjejaskan pantai-pantai yang berkedudukan tidak lebih dari 100 km pusat gempa bumi.
Difahamkan, gegaran yang berlaku di Banda Aceh mengambil masa kira-kira 30 saat menyebabkan penduduk yang merasainya bergegas dari kediaman mereka tetapi kembali semula selepas gegaran tamat.
Gegaran turut dirasai di negara jiran Malaysia iaitu di beberapa buah negeri antaranya Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan utara Perak yang turut dikeluarkan amaran tsunami namun ditarik balik Jabatan Meteorologi Malaysia.
Dalam pada itu, pelajar-pelajar Malaysia yang turut merasai gegaran gempa bumi di Banda Aceh tidak terjejas dan dilaporkan selamat menurut pegawai di Kedutaan Besar Malaysia Jakarta, Ludinata Misnun.
Seramai 206 pelajar Malaysia sedang menuntut di institusi pengajian tinggi di Aceh dan 1260 orang di Medan.

UFO BANYAK DILIHAT DI MINGGU PERTAMA 2012

Gambar: Image UFO yang dilihat pada 1 Jan 2012

Gambar: UFO di lihat bersembunyi di sebalik awan besar di Tainan, Taiwan China sekitar 10 Jan 2012

Gambar: UFO di lihat di Denver, Colorodo U.S.A sekitar 8 Jan 2012

Gambar: UFO di lihat berlegar di sekitar Menara Gereja di Timur Ukraine, Rusia sekitar 5 Jan 2012

Gambar: UFO di lihat mengelilingi ISS dilihat melalui NASA Live Cam Video 4 Jan 2012

Gambar: UFO di Bount Bisno Italy, melalui kamera biasa pada 7 Jan 2012
COLORADO 12 Jan 2012. - Dalam tempoh seminggu pertama tahun baru ini, lebih 200 laporan mengenai kelibat objek terbang yang tidak dikenal pasti (UFO) disaksikan di pelbagai lokasi di seluruh dunia.
Ia sama ada dalam bentuk gelembung-gelembung di udara, pesawat konvensional atau objek astronomi yang tidak dikenal pasti, jumlahnya meningkat setiap hari, tambahan pula proses rakaman menjadi lebih mudah dengan adanya kamera video digital dan telefon bimbit terkini.
Pertubuhan penyiasatan UFO terbesar di dunia, Mutual UFO Network (MUFON) yang berpangkalan di sini menerima banyak laporan tentang objek aneh di angkasa pada minggu pertama tahun baru ini daripada saksi di 36 buah negeri di negara ini.
"Januari tahun lalu, MUFON mencatat sekitar 500 laporan, namun untuk tahun ini kami menerima sehingga 233 laporan untuk tempoh minggu pertama sahaja," kata Pengarah Antarabangsa, Clifford Clift.
Begitu juga dengan catatan pada Disember lalu dengan 810 laporan berbanding 500 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
"Tahun lalu, terdapat lebih 6,000 objek aneh dilihat dan jika melihat kepada trend ini, angkanya akan meningkat hingga 50 peratus dengan kira-kira 10 peratus daripada laporan berakhir dengan keputusan buntu selepas penyiasatan dijalankan," katanya.
Merujuk kepada sebuah lagi badan penyiasat WeatherWatch.co.nz yang berpangkalan di New Zealand, dalam masa sehari pertama 2012 mereka menerima 80 laporan dan berterusan hingga kini dengan kira-kira 10 laporan setiap jam.
"Ramai yang keluar rumah pada sambutan tahun baru. Di Amerika Syarikat misalnya, cuaca kering dan sederhana di kebanyakan tempat menyebabkan ramai yang mengambil keputusan keluar rumah untuk melihat objek aneh," kata pakar analisis cuaca, Philip Duncan.
Menurut tolatestufosightings.net, sekumpulan cahaya berbentuk silinder berkilau-kilau dirakamkan di Campinas, Brazil pada 3 Jan. Seterusnya pada hari yang sama dua objek terbang berwarna cerah bergerak dalam keadaan perlahan dirakamkan di Sinaloa, Mexico.
Clift berkata, semakin ramai yang ingin tahu tentang UFO dan mereka akan keluar rumah untuk menyaksikan sebarang keganjilan di ruang angkasa, sekali gus menjadikan laporan tentang objek aneh tersebut meningkat. - AGENSI

Thursday, 5 January 2012

TUNA GERGASI DILELONG RM2.2 JUTA

GAMBAR: Kiyoshi Kimura (kiri) memotong ikan tuna biru gergasi yang dibelinya pada harga lebih 56 juta yen di Tokyo, semalam. - AFP
 (Utusan Malaysia: 6 Jan 2012)
TOKYO 5 Jan. - Seorang pemilik restoran sanggup membayar lebih 50 juta yen bagi membeli seekor tuna biru gergasi di pasar ikan Tsujiki, Jepun, sekali gus menandingi harga jualan ikan sama sebelum ini.
Ikan seberat 269 kilogram yang ditangkap di perairan wilayah Aomori, utara Jepun itu dijual pada harga 56.49 juta yen (RM2.2 juta) dalam satu acara lelongan pertama tahun ini.
Jumlah itu lebih tinggi berbanding lelongan ikan jenis sama tahun lalu yang dijual pada harga 32.49 juta yen (RM1.3 juta) di Tsujiki, sebuah pasar besar yang turut menjadi lokasi tarikan pelancong.
Pembida yang membeli ikan tersebut ialah presiden syarikat yang memiliki rangkaian restoran popular Sushi-Zanmai, Kiyoshi Kimura.
Media tempatan melaporkan, restoran itu akan menjual sushi yang dihiasi satu hirisan tuna hanya dengan harga 418 yen (RM17).
Ia adalah jauh lebih rendah berbanding harga sepatutnya iaitu 5,000 yen (RM204) bagi setiap sushi, mengambil kira nilai ikan itu pada 210,000 yen (RM8,857) bagi setiap kilogram.
"Saya mahu membeli tuna terbaik supaya pelanggan Jepun boleh menikmatinya dan bukan pelanggan luar negara," katanya merujuk kepada pemilik restoran sushi dari Hong Kong yang membeli ikan jenis sama tahun lalu.
Aktiviti menangkap ikan tidak terkawal selama berdekad-dekad menyebabkan bekalan tuna dunia semakin merosot, satu keadaan yang memaksa negara-negara Barat mengharamkan penangkapan spesies tuna biru yang terancam di Atlantik.
Tiga suku daripada tangkapan ikan tuna biru di seluruh dunia dimakan penduduk Jepun. Ia merupakan bahan paling mahal dalam pembuatan sushi yang dikenali sebagai 'kuro maguro' (tuna hitam) dan digelar 'berlian hitam' kerana sukar diperolehi. - AFP

TANAH RUNTUH DI LOMBONG EMAS MINDANAO

Gambar: Beberapa  lelaki menuruni kawasan tanah runtuh di lombong emas di Napan, pekan Pantukan di Mindanao, semalam. - AFP
(Utusan Malaysia: 6 Jan 2012)
MANILA 5 Jan 2012. - Sekurang-kurangnya 25 maut, sementara lebih 100 yang lain hilang dalam satu kejadian tanah runtuh di sebuah lombong emas di selatan negara ini, hari ini.
Ketua Pertahanan Awam Benito Ramos berkata, kejadian di kampung Napnapan, bandar Pantukan itu berlaku pada pukul 3 pagi waktu tempatan (5 pagi waktu Malaysia) ketika penduduk sedang nyenyak tidur.
"Satu unit tentera dengan 120 anggota kini berada di lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat mangsa. Mereka hanya menggali runtuhan tanah menggunakan tangan," ujarnya.
Katanya, pihak berkuasa tempatan dan syarikat perlombongan juga telah diminta membawa masuk jentera berat ke kampung tersebut bagi membantu usaha menyelamat.
Setiausaha Alam Sekitar dan Sumber Asli Ramon Paje menjelaskan, beliau pernah memberi amaran kepada penduduk dan pegawai tempatan berhubung perkara itu tahun lalu, selepas pakar geologi mendapati terdapat rekahan pada puncak bukit yang boleh mengakibatkan tanah runtuh pada bila-bila masa. - AFP

GEMPA 5.3 MAGNITUD GEGAR DOMINICA

SANTO DOMINGO 6 Jan 2012: Gempa berukuran 5.3 magnitud menggegarkan Republik Dominica awal pagi tadi menyebabkan kerosokan pada jalan raya dan beberapa bangunan tetapi tiada laporan mengenai mereka yang cedera.

Pegawai Jabatan Kecemasan, Juan Manuel Mendez, berkata gegaran kuat itu turut menyebabkan rumah kediaman dan bangunan runtuh di kawasan kediaman
San Jose de Ocoa, kira-kira 115 kilometer di barat ibu negara itu. Gempa berlaku jam 5.35 pagi waktu tempatan yang gegarannya dirasai hampir di seluruh republik itu termasuk Santo Domingo, menyebabkan penduduk yang panik bergegas keluar rumah sehingga subuh. - AFP

IKLAN GIGI PAUS DI FACEBOOK

Gambar: Bangkai paus sepanjang 12 meter terdampar di pantai Old Hunstanton, utara Norfolk malam Krismas baru-baru ini- Agensi
(Utusan Malaysia: 4 Jan 2012)
LONDON 3 Jan. – Seorang lelaki yang cuba menjual gigi dan tulang rahang ikan paus di laman web Facebook diberi amaran akan berdepan dengan dakwaan.
Bangkai paus sepanjang 12 meter itu hanyut di pantai Old Hunstanton, utara Norfolk malam Krismas baru-baru ini.
Seorang lelaki pada Ahad lalu telah mengiklankan untuk menjual gigi ikan paus itu di dalam Facebook pada harga 5 pound (RM25) setiap batang atau 45 pound (RM222) untuk tulang rahangnya.
Lelaki dari barat Norfok itu sedang disiasat polis kerana menjual bahagian-bahagian paus yang telah mati. Penjualan bahagian-bahagian ikan paus yang telah mati tidak dibenarkan dan sesiapa yang cuba untuk memperdagangkan haiwan terancam ini akan didakwa.
Paus adalah haiwan yang dilindungi di bawah Suruhanjaya Paus Antarabangsa dan perdagangan giginya turut diharamkan di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa bagi Spesis Terancam (CITES).
Jurucakap Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar berkata, sebarang penemuan paus tidak boleh diambil atau dimusnahkan tanpa kebenaran majlis tempatan dan Agensi Pengawal Pantai dan Maritim.
Paus besar itu kini menjadi tarikan pelancong sejak ia terdampar di pantai itu dan dilaporkan beribu-ribu pengunjung datang ke resort tepi pantai popular itu untuk menyaksikan bangkai haiwan itu.
Paus itu dipercayai telah mati beberapa lama sebelum ini dan ia kini sedang mereput di pantai tersebut dan dijadual akan dipindahkan dalam tempoh beberapa hari lagi. – AGENSI

FILIPINA DILANDA WABAK

Gambar: Seorang wanita mangsa Taufan Washi sedang tidur bersama dua anaknya yang masih kecil di dalam kelabu di pusat pemindahan mangsa banjir di Cagayan de Oro di pulau Mindanao, selatan Filipina pada 30 Disember lalu-Reuters
COTABATO 3 Jan. – Pihak berkuasa kesihatan Filipina hari ini mengisytiharkan wabak penyakit leptospirosis di kawasan yang dilanda banjir di selatan negara ini.
Sekurang-kurangnya lapan orang maut dan seramai 300 lagi disahkan dijangkiti penyakit bawaan haiwan itu di bandar Cagayan de Oro dan di Iligan City yang berdekatan.
Penyakit tersebut, berpunca daripada bakteria Leptospira yang biasanya merebak menerusi air kencing haiwan seperti tikus, boleh menyebabkan demam panas, pendarahan dalaman dan kegagalan organ.
Mangsa terbaru, seorang wanita tua, meninggal dunia malam tadi akibat komplikasi daripada penyakit itu.
Menteri Kesihatan wilayah, Dr. Jaime Bernadas berkata, mereka khuatir bilangan pesakit di kalangan mangsa taufan Washi mungkin meningkat dalam masa beberapa hari akan datang.
Ahli Kongres, Rufus Rodriguez menggesa penduduk yang terjejas akibat banjir supaya mengambil ubat yang disediakan oleh pihak berkuasa kesihatan bagi mencegah penyakit pembawa maut itu.
Angka kematian akibat taufan Washi setakat ini berjumlah 1,258 orang, manakala ramai lagi mangsa dipercayai masih hilang.
Taufan Washi menyebabkan hujan lebat dan banjir buruk di banyak kawasan di tengah dan selatan Filipina sejak 16 Disember lalu. – AGENSI

KEBAKARAN HUTAN DI CHILE

Gambar:Api marak dari kebakaran hutan di Quillon, wilayah Bio Bio di selatan Chile kira-kira 500 kilometer dari Santiago memusnahkan sebuah kilang Celulosa Arauco, kelmarin -AFP (Utusan Malaysia : 4 Jan 2012)
Santiago 3 Jan 2012 - Seorang dilaporkan terbunuh dalam kebakaran hutan terbaru di selatan Chile, beberapa jam selepas pasukan bomba berjaya mengawal api yang memusnahkan hampir 13000 hektar kawasan hutan di Patagonia kelmarin.
Menurut agensi bencana Persekutuan, kebakaran itu memusnahkan hampir 10,000 hektar hutan di komuniti Quillon di wilayah Biobio selatan Chile kira-kira 500 kilometar ke selatan Santiago.
Sebelum ini, lima kebakaran hutan di Biobio dilaporkan yang memusnahkan sekurang-kurangnya 100 buah rumah, katanya.
Presiden Chile, Sebastian Pinera, kelmarin mengumumkan bahawa beratus-ratus anggota bomba berjaya mengawal kebakaran hutan yang berlarutan sejak lima hari lalu di Taman Negara Torres del Paine.
"Kami dalam proses untuk membuka semula sebahagian taman ini," kata Pinera.
Sementara itu, polis menuduh seorang rakyat Israel, Rotem Singer 23 yang menyebabkan kebakaran itu, walaupun menafikan tuduhan itu.
Singer dituduh gagal memadam segulung tisu tandas yang dibakarnya ketika ketika sedang berkhemah bersama-sama kawannya di taman negara itu.
Dia ditangkap pada Sabtu lalu dan dibebaskan beberapa jam ekmudian dengan syarat Singer tidak boleh meninggalkan kawasan itu.
Singer kemungkinan dikenakan hukuman penjara antara 40 hingga 60 hari dan denda sebanyak AS $30 (RM90)- AFP

Wednesday, 4 January 2012

PULAU JAWA DILANDA BANJIR


Gambar: Beberapa orang penduduk dari sebuah kampung di Jawa meredah banjir setelah rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat
(Utusan Malaysia : 4 Jan 2012)
Jakarta 3 Jan 2012- Sekurang-kurangnya 10 kawasan di sekitar Jawa dilanda banjir ketika musim hujan mencapai kemuncaknya pada bulan ini.
Jurucakap Agensi Mitigasi dan Bencana Alam Nasional (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho berkata, empat wilayah dilanda banjir sejak, kelmarin manakala selebihnya berlaku, semalam.
Beliau berkata, Bungo, Sragen, Klaten dan Brebes di Jawa Pusat, selain Nganjuk serta Pasuruan di Jawa Timur dan Bandar Yogyakarta serta Banjar, Jawa Barat merupakan antara kawasan yang dinaiki air.
"Jabuari merupakan kemuncak musim hujan Indonesi dengan kemungkinan peningkatan banjir berlaku" katanya.
Hujan lebat di Solo menyebabkan air Sungai Bengawan Solo melimpah menyebabkan bandar dinaiki air.
"Air masuk ke dalam rumah dan meningkat dengan cepat menyebabkan saya terpaksa memindahkan keluarga saya" kata seorang penduduk yang tinggal berdekatan sungai itu, Wardiman.
Pihak berkuasa Solo menjangka sekurang-kurangnya 2500 orang dipindahkan, semalam.
Bandar Sukoharjo berdekatan Solo juga menyaksikan 4400 orang terpaksa dipindahkan. Beberapa sungai di bandar Sragen turut melimpah dan memutuskan hubungan antara jalan raya utama antara Solo dan Surabaya- Agensi


PELIK: RIBUAN IKAN MATI


Gambar: Lebih 20 tan ikan hering terdampar di pantai Kvaenes, Nordreisa, kelamarin -Agensi (Utusan Malaysia: 4 Jan 2012)
Norway 2 Jan 2012 - Satu kejadian aneh berlaku di pantai Norway apabila beribu-ribu ikan hering yang selalu hidup dalam laut dalam ditemui mati terdampar di pantai Kvaenes, Nordreisa.
Kejadian pelik itu mencetuskan persoalan bagaimana ikan lebih 20 tan itu boleh berada di pantai itu, sekaligus mengundang pelbagai teori pakar.
Satu daripada teori yang dikaitkan ialah mengenai ramalan puak Mayan kuno yang percaya kononnya dunia akan kiamat pada 2012 dan kejadian ikan hering terdampar di situ adalah petandanya. Bagaimanapun terdapat hujah yang menyatakan ikan itu mungkin dihanyutkan ke pantai ketika ribut atau terperangkap di air yang cetek yang tercemar dengan air sungai.

LAGI MISTERI RIBUAN BURUNG MATI

Gambar: Ratusan burung yang jatuh dari langit ditemui mati di Lousiana, Amerika Syarikat pada tahun lalu (Sinar Harian: 3 Jan 2012)
Little Rock 1 Jan 2012- Beberapa jam sebelum menjelang tahun baru, penduduk di bandar Beebe, Arkansas, kelmarin di kejutkan dengan misteri kematian kira-kira 5,000 spesies burung hitam yang dipercayai jatuh dari langit secara tiba-tiba.
Difahamkan, ia adalah kejadian kedua dalam tempoh dua tahun melibatkan kematian ratusan burung di bandar itu. Ahli ornitologi dari Universiti Cornell, Dr. Kevin Mc Gowan menyatakan punca kematian burung tersebut mungkin disebabkan oleh faktor penglihatan pada waktu malam kerana ia menjadi buta pada masa itu.
Pelbagai teori mengenai insiden misteri tersebut mula tersebar dan pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada persembahan bunga api untuk menyambut ambang 2012

SELATAN THAI PULA TENGGELAM

Gambar: Penduduk kampung terpaksa meredah banjir di Hat Yai yang terletak di wilayah Songkhla, Selatan Thailand semalam
(Sinar Harian; 3 Jan 2012)
HATYAI  2 Jan 2012- Hujan lebat dan banjir kilat mencetuskan huru hara di Selatan Thailand semasa tahun baru kelmarin, dengan seorang penduduk dikhuatiri maut, lapan orang hilang dan arahan berpindah di keluarkan kerajaan.
Di Hat Yai, pelancong asing terperangkap di hotel mereka selepas jalan raya terputus hubungan akibat banjir kilat sementara di Narathiwat, penduduk terpaksa menggunakan bot selepas jalan raya di banjiri.
Ramalan cuaca menunjukkan banjir kilat itu mungkin akan menjejaskan enam wilayah di Thailand, negara yang sedang pulih daripada banjir berpanjangan sejak Julai lalu.
Pihak berkuasa tempatan Hat Yai mengarahkan penduduk berpindah selepas hujan lebat melanda kawasan tersebut selain menyebabkan banjir kilat di 12 daerah di Songkhla dan kawasan lain di Selatan Thailand.
Menurut stesen meteorologi Yala, cuaca buruk dan hujan lebat di selatan negara itu disebabkan kesan gabungan angin monsun di Teluk Siam dan angin tekanan rendah di utara Malaysia

CHRISTCHURCH DI GEGAR GEMPA LAGI

Wellington 2 Jan 2012 - Christchurch hari ini digegarkan lagi dengan 17 siri gempa bumi dalam tempoh 18 jam. Bagaimanapun tiada kerosakan dilaporkan. Ia termasuk dua gegaran kuat melebihi 5 pada skala Richter dan enam lagi antara 4 dan 5 pada skala Richter. Majlis Bandar Raya mengeluarkan kenyataan meminta komuniti mengambil tahu tentang keadaan keluarga, rakan dan jiran bagi menghadapi waktu cemas ini. Chrischurch, bandar terbesar di South Island mengalami beberapa siri gempa sejak September 2010 termasuk paling besar pada Februari lalu yang mengorbankan 181 orang - DPA

Monday, 2 January 2012

GEMPA 7.0 SKALA RICHTER GEGAR JEPUN

Gambar Hiasan
Tokyo- Gempa bumi berkekuatan 7.0 skal Richter dialporkan mengegar Tokyo, menurut Agensi Meteorologi Jepun, semalam (01.12.2012). Bagaimanapun, gempa yang berpusat di sebuah pulau berhampiran Torishima kira-kira 560 kilometer di Selatan Tokyo itu tidak mencetuskan amaran tsunami. Gempa kuat tersebut didakwa telah menggegarkan beberapa bangunan di bandaraya Tokyo tetapi tidak menjejaskan perlawanan akhir bola sepak Maharaja yang sedang berlangsung. (Sinar Harian: 2 Jan 2012)